Cinta Ilmu 📖

Bismillah.
Kepada kalian yang membaca, moga sentiasa dinaungi rahmat dan petunjuk Allah.

Malam ni aku terpanggil untuk berkongsi tentang kepentingan menuntut ilmu meskipun diri diratah usia yang semakin  meningkat.

Untuk makluman kalian , aku dan keluarga sedang bercuti di Pulau Pangkor, Perak selama 3 hari 2 malam. Kami turut menjemput bapa dan ibu saudara (Pak Jang dan Mak Jang) sebagai pelengkap rombongan kerana mereka berdua antara ahli keluarga yang sangat rapat dengan kami.

Dan Alhamdulillah, petang tadi dapat kami meneroka beberapa buah pulau dengan menaiki bot sewaan. Aktiviti pantai pun tidak ketinggalan. Bersuka ria, bergelak tawa dan menikmati keindahan bumi ciptaan Tuhan. Kecantikan yang sungguh menawan!

Dan bila bercuti di sesuatu tempat, keluarga aku lebih suka mengutamakan masakan sendiri berbanding makan di luar. Lebih meyakinkan untuk dimakan dan lebih sedap menikmati air tangan keluarga berbanding masakan orang yang tidak dikenali. Maklumlah, 'style' orang kampung akan terserlah jua meskipun bercuti di luar kampung. 🌴

Seusai makan malam, aku luangkan masa untuk menonton televisyen seketika. Tiada apa-apa rancangan yang menarik pun sebenarnya. Mata aku hanya ligat memandang skrin TV dengan minda yang kosong. Hanya fokus untuk merehatkan badan seketika setelah berpenat puas mandi di lautan. 💆‍♂️

Dan tiba-tiba Mak Jang keluar dari biliknya dan membawa keluar bersamanya sebuah kitab Arab. Aku melihat Mak Jang dengan penuh kehairanan. "Cuti-cuti begini pun Mak Jang membawa buku untuk dibaca?" pinta hatiku. Ternyata buku yang dipegangnya adalah buku Pembelajaran Bahasa Arab. Rupanya, Mak Jang mengikuti kelas Bahasa Arab di sebuah masjid di negeri kami. Dan sangkaan aku benar, Mak Jang ingin aku mengajarnya beberapa perkara asas dalam Bahasa Arab yang dia ketinggalan dalam kelas.
Aku pun menterjemah kalimah² yang wujud di dalam buku tersebut dan mengajar satu dua ilmu asas Bahasa Arab yang aku tahu. 📓

Terkedu aku seketika. Usia emas beginipun masih rajin untuk mempelajari bahasa. Aku berfikir, di usia ini, majoriti mereka kecundang sudah untuk menuntut ilmu dan mempelajari sesuatu. Kerana mereka merasakan waktu yang sudah terlambat dan dihalang kudrat.

Tetapi apabila melihat semangat Mak Jang yang gigih membawa buku ketika bercuti ini semata-mata untuk bertanyakan kepada aku beberapa perkara, persepsi aku telah berubah sama sekali.

Subhanallah!

Benarlah, ilmu itu sangat berharga di mata mereka yang mengetahui nilai dan kehebatannya! 📖

Aku teringat kisah teguhnya semangat Imam AlBukhari meneroka ke seluruh pelusuk alam, demi mencari hadith-hadith Rasul yang mulia. Beliau berkorban masa,  harta dan juga qudrat, demi mengumpulkan hadith-hadith Nabi SAW untuk dibukukan. Dan ternyata pada saat ini, buku karangan beliau صحيح البخاري 'Sahih AlBukhari' digelar 'Buku Paling Benar Selepas AlQuran' dan sering menjadi rujukan para 'alim ulama' sezaman dan selepasnya hatta pada era kontemporari ini sekalipun. Lihatlah, bagaimana Allah memuliakan hamba-Nya yang menimba ilmu pengetahuan untuk disampaikan kebaikannya kepada masyarakat.

Sahabat pemuda pemudi sekalian,
Janganlah kita sesekali sesal dan kesal terhadap jalan ilmu yang kita pilih. Kerana disebalik kesukarannya , terpalit keindahan dan kehebatan yang tidak ternilai.

Ilmu itu membebaskan kita dari kepompong kejahilan, memuliakan kita dengan kebenaran dan memasakkan hati kita dalam beramal kepada Tuhan.

Berkata Imam Syafie رحمه اللّه :
"Siapa yang berkehendakkan dunia hendaklah dia berilmu, siapa yang berkehendakkan akhirat hendaklah dia berilmu. Dan siapa yang berkehendakkan kedua-duanya, maka hendaklah dia berilmu."

Allah عز وجلّ berfirman dalam Surah        Al-Mujadilah ayat 11 :

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ
Maksud : "Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu) - beberapa darjat."

Dan sabda Rasulullah SAW :

من سلك طريقاً يلتمس فيه علما، سهّل الله له به طريقًا إلى الجنة.

Maksud : "Barangsiapa yang menempuh sesuatu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mempermudahkan jalan baginya ke syurga."
[Riwayat Imam Muslim]

Cukuplah sebutir ayat AlQuran dan hadith yang cukup bermakna ini untuk kita mengetahui hakikat betapa signifikan sekali peranan ilmu dalam kehidupan manusia.

Dan moga juga ilmu kita tidak ditanam dengan sia-sia , sebaliknya tuailah ia dengan amalan-amalan yang membawa natijah kebaikan kepada seluruh alam.

                 العلم بلا عمل كالشجر بلا ثمر
Ilmu tanpa amal ibarat pokok yang tidak berbuah (tidak memberi manfaat)

Dan berkata Imam AlGhazali :

        العمل بلا علم جنون، والعلم بلا عمل لا يكون

Beramal tanpa ilmu itu gila, dan berilmu tanpa beramal itu tidak menjadi.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bustan al-Salatin : Karya Emas al-Raniry

Pemurahnya Allah 💕