Bustan al-Salatin : Karya Emas al-Raniry
Dalam membicarakan sejarah peradaban Melayu yang agung, kita tidak akan terlepas dari membaca mengenai kehebatan kerajaan Aceh Darussalam dalam mengekalkan pemerintahan mereka dalam satu tempoh masa yang agak lama. Bukan sekadar itu, usaha-usaha yang dilakukan oleh pemerintahan Aceh juga membuatkan kita terfikir apakah rahsia yang mendorong para sultan mereka dalam memimpin sebuah kerajaan yang berjaya membangunkan sistem pendidikan yang efektif, aspek ketenteraan yang mampan dan sebagainya.
Namun, rahsia tersebut bukanlah perkara tersembunyi semata-mata. Ianya berupa beberapa karya ketatanegaraan yang dihasilkan para ilmuan Aceh sebagai panduan kepada pemerintah. Ya, hanyalah tinta dakwat yang meresap dalam kertas namun ia turut meresap dalam jiwa dan sanubari para pemimpin Aceh!
Bustan al-Salatin dihasilkan demi tujuan itu. Namun, sebahagian pengkaji juga menyatakan karya ini juga memuatkan cerita dan kisah sejarah Islam dan dikira sebagai manuskrip sejarah. Ini berikutan sebahagian besar Bab 1 hingga Bab 4 mengandungi elemen sejarah seperti penciptaan alam semesta, kisah para Rasul serta kisah raja dan pemerintah dahulukala.
Bustan al-Salatin ditulis oleh Syeikh Nuruddin al-Raniry pada tahun 1638 Masihi. Beliau merupakan seorang ulama Aceh yang giat menghasilkan penulisan (35 buku) dalam misi menyuburkan sisi intelektualisme dan pendidikan di Aceh. Karya ini dihasilkan demi memenuhi perintah Sultan Iskandar Thani ketika itu yang menginginkan panduan pemerintahan mengikut landas hukum Islam.
Menurut al-Attas, al-Raniry telah memecahkan tradisi penulisan Melayu sebelumnya kerana Bustan al-Salatin ini ternyata berbeza dari trend karya-karya Melayu silam dari aspek isi kandungan dan teknik penulisan. Menarik sekali apabila kronologi secara tuntas berkaitan sejarah dipersembahkan oleh beliau dalam magnum opus ini bermula penciptaan alam semesta, sejarah pengutusan para Rasul kepada umat manusia, kisah para raja dan pemerintah meliputi wilayah Greek, Rom, Mesir dan Arab, kerajaan-kerajaan Islam dan berakhir dengan cerita mengenai kerajaan Melayu di Pahang dan Aceh.
Bustan al-Salatin terdiri daripada 60 fasal dan 7 bab sekaligus menjadikan ia penulisan literasi tradisional Melayu yang terpanjang pernah dihasilkan. Sheikh Nuruddin al-Raniry menulis karya ini dengan merujuk secara dominan kepada Al-Quran dan Hadith dan tidak terkecuali sumber-sumber yang lain. Kedua sumber ini sangat banyak membicarakan elemen sejarah dan ia menjadi sumber rujukan asli dan berautoriti yang seharusnya diambil manfaat oleh umat Islam dan demikianlah al-Raniry tampil merealisasikannya dalam Bustan al-Salatin ini.
Selain unsur didaktik dan panduan buat para pemerintah Aceh (mirror for princes) yang diberi penekanan oleh al-Raniry, beliau juga turut memuatkan perihal kegemilangan yang digapai oleh Aceh Darussalam seperti keindahan istana, taman Dar As Salam dan senibina yang wujud di Aceh. Al-Raniry juga menyuburkan semangat patriotisme dalam masyarakat Melayu melalui karyanya supaya tidak takut dan gerun melawan penjajah Barat.
Adlin Shaimi
26 Januari 2022
Kuala Lumpur
Ulasan
Catat Ulasan