TIPS PERGAULAN INSANI GAYA RASULULLAH

Setiap manusia sememangnya menginginkan yang terbaik dalam kehidupan sehariannya. Lebih-lebih lagi dalam aspek pergaulan sesama manusia dalam konteks bersosial dan bermasyarakat. Yelah, setiap hari kita akan bersua muka dengan rakan, guru, ahli keluarga dan masyarakat. Pernahkah kita terfikir bagaimana cara Rasulullah bergaul dan membahagiakan hati mereka yang berjumpa dengan baginda?

PERTAMA

Pembaca yang budiman, kita perlu memperbetulkan pemikiran dan mindset kita bahawa tidak perlu untuk kita takut merekacipta pendekatan bergaul. Hal ini kerana pembaharuan metode pergaulan atau aspek sosial bukanlah tergolong dalam ibadah khusus seperti solat, puasa dan lain-lain. Justeru, gelaran bid'ah yang dimomokkan masyarakat tidak terpakai kepada perkara ini. Oleh itu, ruang kreativiti dan inovasi terbuka luas untuk kita sendiri mengkaji apakah tindakan dan pendekatan yang terbaik dalam bergaul bersama insan lain. Pergaulan adalah perkara yang fleksibel dan anjal kerana Rasulullah sendiri berinteraksi mengikut personaliti orang yang baginda temui.

KEDUA

Perelokkan niat kita dalam pergaulan. Hal ini merangkumi 3 perkara :

1) Pastikan kita hanya berharap kepada Allah SWT. Hal ini kerana hanya Dia-lah kelak yang mengganjari perbuatan amal baik kita terhadap orang lain. 

Jikalau kita hendak tunggu balasan daripada manusia atas sikap baik yang kita pamerkan, tidak akan pernah rasa cukup dan puas hati kita untuk mengharapkannya. Cukuplah balasan daripada Allah semata-mata!

2) Dalam merealisasikan niat tersebut, senaraikanlah 40 perkara kebaikan yang kita hendak lakukan terhadap orang lain dalam tempoh sehari. Di zaman yang serba canggih ini, manfaatkanlah teknologi seadanya seperti aplikasi Google Keep Notes dan sebagainya.

Misalnya, aku ingin buat 5 orang tersenyum pada esok hari! Maka, jika kita capai 15 dari 40 perkara tersebut, sudah cukup memadai untuk kita kekalkan momentum kebaikan tersebut dalam jangka masa panjang.

Senarai perbuatan amal kebaikan ini penting supaya kita memiliki sasaran untuk kita capai dalam meningkatkan amal kebaikan khususnya dalam pergaulan.

3) Melazimi الإيثار iaitu kita memberi sesuatu dari hak kita kepada orang lain yang tiada hak ke atasnya.

Sebagai contoh, Ahmad menjamah makanan yang diberi oleh gurunya. Disebabkan dia masih lapar, Ali memberikan makanan miliknya hasil pemberian guru mereka juga kepada Ahmad. 

Demikianlah sikap mengutamakan orang lain sedangkan kita berhak ke atas sesuatu yang kita miliki. Tindakan ini menatijahkan rasa sayang kepada si pelaku. Bahkan, mungkin akan diingati sampai bila-bila pengorbanan yang mungkin dirasakan kecil olehnya, tetapi dilihat besar pada mata orang lain.

KETIGA

Setiap manusia tidak sama ragam dan kerenahnya. Tidak sama perwatakan dan sikapnya. Justeru, ini menuntut kita untuk cakna akan personaliti orang yang kita santuni.

Ada orang yang terhibur dengan humor dan lawak jenaka.
Ada orang yang serius dan kurang bersembang perkara yang tidak perlu.
Dan ada juga orang yang berterus terang dan tidak suka berkias.

Demikian itu, kita perlu memahami akan diri mereka dalam memasang langkah bergaul yang membuahkan pahala, senyuman dan rasa selesa mereka terhadap diri kita.

KEEMPAT

Menurut kajian saintifik, sikap yang ditunjukkan pada pertemuan kali pertama membuahkan 70% impresi seseorang terhadap orang yang ditemuinya.

Menariknya, hal ini telah dipraktik oleh Rasulullah SAW dalam kisah baginda bersama seorang raja Arab beragama Nasrani, 'Adi bin Hatim.

Kisah ini terakam apabila perkampungan 'Adi bin Hatim ditawan oleh tentera Islam. Namun, 'Adi bin Hatim ini sempat melarikan diri ke wilayah Rom dan mendapatkan perlindungan suaka politik di sana. Namun, hatinya berasa sedih apabila dirinya sebagai seorang pemimpin melarikan diri tatkala seluruh penduduk kampungnya ditahan dan dijadikan hamba oleh umat Islam di Madinah.

Satu ketika, beliau telah bertekad untuk pergi berjumpa Rasulullah dalam usaha untuk berunding. Hatinya masih lagi menyimpan dendam kepada Rasulullah dan Islam yang baginya hanyalah agama buruk yang hendak menjarah wilayah-wilayah lain dan mendapatkan hasil perang.

Usai sampainya beliau di Madinah, beliau terus dibawa berjumpa Rasulullah. Rasulullah yang tadinya duduk, terus berdiri dan menerpa ke arah 'Adi bin Hatim dan menggenggam tangannya dengan begitu erat seolah-olah telah lama mengenali. Lalu, baginda terus mengajak 'Adi ke rumah baginda.

Dalam perjalanan tersebut, mereka telah terserempak dengan seorang wanita tua. Lalu, baginda Rasul membantu menyelesaikan urusan si tua tersebut dan perkara ini dilihat oleh 'Adi bin Hatim. Berkata 'Adi di dalam hatinya bahawa :  "Muhammad ini bukan seorang raja kerana si raja tidak akan berperlakuan sebegini. Ternyata sekali dia seorang Nabi!"

Di sana, Rasulullah telah melayani 'Adi dengan baik sekali. Rasulullah juga menawarkan tempat duduk kepada 'Adi dan baginda hanya duduk di lantai. Dan Rasulullah berkata : "Wahai 'Adi, marilah bersama Islam, nescaya kamu akan selamat. Jika Islam yang engkau pilih, nescaya kumerdekakan seluruh penduduk kampungmu yang menjadi hamba dan pulanglah engkau menjadi raja mereka!"

Dan sikap Rasulullah ini telah menambat hati si raja Kristian ini untuk memeluk Islam dan akhirnya memimpin kembali penduduk wilayahnya di bawah acuan Islam. (Kitab Sirah Ibnu Hisyam)

Subhanallah, betapa hebatnya tindakan Rasulullah yang tidak kekok menunjukkan rasa hormat kepada musuhnya dan melayani beliau dengan begitu baik. Sikap tawaduk yang ditonjolkan Rasulullah melunakkan hati seorang raja Kristian untuk memeluk Islam. Dalam konteks kisah ini, benarlah first impression memainkan peranan penting dalam pergaulan sesama manusia.

KELIMA

Sebesar atau setinggi manapun tubuh dan fizikal manusia, ia tidak dapat mengalahkan besarnya emosi, hati dan perasaan seseorang itu.

Justeru, dalam bergaul, curahkanlah fokus terhadap hati dan emosinya. Tatkala kita membuatkan dia berasa gembira dan bahagia, pasti mudah dia menuruti segala permintaan atau hajat kita. Bayangkan jika hatinya geram dan marah disebabkan tindakan kita, mana mungkin dia berasa senang dengan kehadiran kita di sisinya.

Atas dasar itu, perbanyakkanlah pujian dan kata-kata positif kepada orang di sekeliling kita. 

"Kamu sangat kacak dan kemas pada hari ini. Persis Aaron Aziz."
"Cantiknya kamu harini. Menawan hati jejaka-jejaka Malaya."

Mudah bukan untuk menuturkan kata pujian. Hanya ego kita sahaja yang menjadikannya ia sukar untuk terlafaz di bibir.

Contohilah Rasulullah SAW yang sentiasa memuji isteri-isteri baginda seperti Aishah. Baginda juga banyak memuji sahabat-sahabatnya dalam pelbagai cara. Oleh itu, jangan kekok memuji!

[HURAIAN INTIPATI KULIAH SIRAH AL-RASUL OLEH DR. AHMAD FAISAL ABDUL HAMID]

Adlin Shaimi
28 Januari 2022
Kuala Lumpur

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bustan al-Salatin : Karya Emas al-Raniry

Pemurahnya Allah 💕

Cinta Ilmu 📖