Abah 💞
Bismillah.🤗
Apa khabar kalian semua?
Moga Allah sihatkan kalian yang sakit, Allah kuatkan kalian yang lemah dan Allah permudahkan urusan kalian yang rumit.
(كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ)
[Surat Ali Imran 185]
"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."
Rasulullah SAW bersabda :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكْثِرُوا ذِكْرَ هَاذِمِ اللَّذَّاتِ يَعْنِي الْمَوْتَ
"Perbanyakkanlah mengingati pemutus kenikmatan, iaitu kematian."
[HR Ibnu Majah, no. 4258; Tirmidzi; Nasai; Ahmad]
Hari ini hari ke 4 selepas pemergian Abah pada hari Selasa yang lalu. Siapa yang tak sedih bukan apabila orang yang kita sayang khususnya ahli keluarga meninggalkan kita? Ya, itulah kelaziman dan fitrah manusia.
Sebelum Abah pergi, aku sebenarnya dah menjangkakan yang beliau akan pergi selamanya.
Dan aku pernah berdoa, "Ya Allah, jika sakit yang dirasakan Abah sangat perit, Kau matikanlah dia dalam keadaan Kau redha padanya."
Firasat aku tepat. Ya, Allah lebih menyayanginya. Aku reda dan sabar atas ketentuan Tuhan.
Meskipun aku sebenarnya tak berkesempatan untuk melihat muka Abah buat kali terakhir, aku sangat bersyukur apabila urusan jenazahnya berjalan lancar dan cepat.
Jenazah berada di Perlis, manakala aku berada di Kelantan. Pukul 1 petang aku mendapat berita dan pukul 3 barulah aku bertolak pulang. Sememangnya mengikut logik, nak merentas laluan Gerik mengambil masa yang lama. Dan aku pasrah, tak mengapa Ya Allah jika ini yang Kau kehendaki. Pasti ada hikmah atas semua ini. ❤
Allah Maha Mengetahui dan Allah Maha Baik!
Aku nak berkongsi pengalaman aku yang berbapakan Abah. Allah pinjamkan kami sekeluarga seorang insan yang cukup penyayang dan prihatin.
1) Abah bukanlah orang yang senang. Dia hanyalah orang kampung. Dan sejak dia pencen, dia akan masak untuk kami sekeluarga makanan yang agak banyak meskipun kami hanyalah kelompok yang kecil. Aku tak tahu apa sebabnya dan aku dapatkan jawapan dari abang aku yang pertama (Aizan). "Abah dulu bukanlah orang yang senang dan dia tak cukup makan, sebab tu abah taknak kita rasa tak cukup makan macam dia rasa dulu." 😞
2) Waktu aku sekolah rendah, aku menetap di Selangor. Dan ketika itu, abah memiliki sebuah van untuk urusan pengangkutan kami sekeluarga. Dan pada hujung minggu, selalunya ada majlis kenduri di luar kawasan , dan lazimnya kami akan pulang lewat malam. Bila sampai di rumah, aku selalu berpura-pura tidur dalam van supaya Abah dapat dukung aku masuk ke dalam rumah 😝. Manja sungguh aku waktu tu (biasalah budak-budak). Dan masa semakin pantas berlalu, sehinggalah Abah dah tak mampu dukung atas faktor umur (tak larat) dan faktor berat badan aku bertambah 😳. Huhuhu.
3) Abah sangat tegas tentang perkara yang melibatkan agama. Pernah aku dan Abah pergi solat tarawih di sebuah masjid pada awal Ramadhan (esoknya puasa pertama). Selepas habis solat witir, aku merungut pada Abah, lamanya imam ni solat tarawih! Tanpa semena-mena Abah memarahi aku. "Hang kalau solat pun merungut, baik tak payah datang jumpa Tuhan!" . Dan aku terkedu, lepastu tak merungut dah hahaha.
4) Abah takkan lari dari prinsip hidupnya. Satu benda yang aku sangat respect dengan Abah ialah beliau suka bantu orang dan permudahkan urusan orang lain. Setiap tahun, Abah akan belikan barang keperluan seperti beras, gula, garam, biskut, roti dan lain-lain untuk diagihkan pada kaum kerabat yang miskin. Tak lupa juga diselitkan wang, nilainya tidaklah setinggi mana tapi memadai untuk mereka. Dan mungkin kerana amalan itulah Allah permudahkan urusan pengkebumian jenazah beliau. Subhanallah!
5) Dan yang kelima, Abah tak pernah tunjuk yang dia penat dan tak ada duit. Walaupun kami anak beranak tahu yang dia dalam kesempitan. Dulu waktu kecil² , aku tak memahami lagi hakikat kehidupan. Aku sering meminta Abah untuk membelikan alat permainan. Walaupun dalam keadaan begitu, Abah tetap mengkabulkan permintaan aku.
Itulah serba sedikit personaliti Abah yang aku kagumi. Aku yakin kebanyakan bapa adalah sebegitu dan bagi kalian yang masih mempunyai bapa sedemikian, hargailah mereka sebaiknya.
Abah pergi dalam pangkuan abang aku yang kedua (Afif). Sebelum daripada itu, Afif sempat mengajar Abah untuk mengucap Kalimah Syahadah. Dan Abah hanya berupaya menyebut 'Asyhadu' kerana sesak nafas membataskan pertuturan beliau.
Dan proses pemandian jenazahnya dilakukan oleh dua orang abang aku (Afif dan Ahmad), Pak Lang dan Pak Ngah. Apa yang membuatkan aku berasa teruja menurut apa yang diceritakan abang aku ialah muka jenazah Abah seakan-akan tersenyum sewaktu dimandikan. Allahu.
Dan sebelum pengkebumian, awan kelihatan gelap pekat seolah-olah menandakan hujan yang lebat akan turun. Jika turun, ia akan menyusahkan kerja pengkebumian atas faktor tanah yang lembab dan lubang akan digenangi air.
Tapi kuasa Allah menidakkannya. Ternyata hujan tak turun sehinggalah 1 jam setelah selesai proses pengkebumian pada waktu malam selepas solat Isyak.
Aku sampai di rumah selepas itu dan terus memeluk Mak. Dan naluri seorang ibu sememangnya akan mengeluarkan air mata. Aku tetapkan pendirian dan hati untuk tidak menangis. Aku redakan tangisan Mak dengan mengusap belakangnya.
Dan sejak dari itu, aku sedar. Insan yang aku peluk ini adalah tanggungjawab aku selepas ini dan aku akan menjaganya sebaik mungkin.
Dan buat Abah,
Tenanglah dikau di sana,
Dan kami di sini akan menyusulimu,
Untuk bertemu Tuhan Yang Maha Esa.
اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه.
اللهم اجعل قبره روضة من رياض الجنة.
آمين يارب العالمين. ❤
Sabar bro.. Takziah
BalasPadamyang terbaik utk kau
BalasPadamRindu abah.
BalasPadam