Ada Apa Dengan Bertunang?
Assalamualaykum semua. 🤗
Rasanya sudah lama blog ini menyepi hahahaha. Kekangan masa dan juga lambakan aktiviti pengajian membantutkan sedikit sebanyak penulisan dan post di sini.
BERTUNANG : ADAT VS MODENISASI 💍
Kelmarin, sepupu aku di sebelah ibu telah selamat mengikat tali pertunangan dengan pilihan hatinya, saudara Aiman. 🤵🏻
Kami yang merupakan team Perlis ini menyambut ketibaan rombongan pihak lelaki dari Negeri Sembilan! Jauh juga jodoh sepupu kali ini hahahahaha. Benarlah kata orang-orang tua,
"Jodoh itu tidak mengenal jarak dan usia". 💗💗💗
Sempena aku pulang bercuti semester di rumah ini, maka Pak Ngah (ayah sepupu yang bertunang) meminta aku untuk mengendalikan sesi bacaan tahlil dan juga doa selamat. Ini kerana ayah kepada Aiman baru saja meninggal dunia. Kalau diikutkan, jadual pertunangan ini lebih awal, tetapi disebabkan ayahnya yang sakit lalu meninggal dunia, maka ditangguhkan seketika untuk menghormati perasaan mereka yang kehilangan insan tersayang. Ya, aku memahami perasaan mereka kerana aku juga telah kehilangan ayah tercinta. Hilang mereka, tiada ganti di sisi.
🙌🏼🙌🏼 اللهم اغفر لهم وارحمهم وعافه واعف عنهم
Rombongan pihak lelaki datang membawa 5 buah dulang. Maka, tidak lengkap jika tidak berbalas 5 dulang lagi dari pihak perempuan. 🎁🎁
Majlis pertunangan ini dimulakan dengan bacaan tahlil, kemudian diserikan dengan penyampaian hajat ke mari dari pihak keluarga lelaki. Aku sebenarnya, pertama kali merasai duduk sendiri dalam adat majlis pertunangan ini. Sebelum ini, hanya biasa mengikut rombongan untuk meminang sahaja. Kekok juga sebenarnya sebab aku duduk tengah-tengah di antara pihak lelaki dan perempuan. Fuh, dia punya nervous lain macam sikit hahahahahaha 😹😹
Setelah disahkan yang kedua-dua pihak bersetuju, maka mereka bersepakat untuk menetapkan perkara-perkara penting untuk perkahwinan pada masa akan datang. Antara yang dibincangkan ialah kadar mahar, hantaran, tempat bernikah, kenduri kahwin dan lain-lain.
Sebagai lelaki, yang masih muda, perbincangan diatas banyak memberi input-input yang menarik. Adat Melayu kita masih dipegang teguh. Dari proses merisik, bertunang, bernikah sehinggalah berkahwin. Bagi aku, bukanlah 100% adat Melayu diamalkan tetapi memadai menghidupkan adat yang kian dilupakan. Cuma, adat itu perlulah diselarikan dengan Islam. Islam sebagai panduan utama. Jika adat yang dijalankan membazir, menyusahkan dan melanggar syariat,maka kita wajar untuk lebih memilih Islam dari mengutamakan adat.
🐝🐝 العادة المحكمة 🌹🌹
Nabi SAW bersabda dalam satu hadith Jawami' Kalam : "يسّروا ولا تعسّروا"
"Permudahkanlah, jangan menyusahkan."
Selesai menetapkan apa yang perlu, maka tibalah scene yang ditunggu-tunggu iaitu sesi sarung cincin! Tang ni lah nenek kepada Aiman (mewakili ibunya yang sedang dalam 'iddah kematian suami) berperanan. Cincin yang dibawa meghelip macam pemakainya juga yang comey lotey. 👰🏻💍🌼
Sudah selesai sarung cincin, maka aku kembali menyambung tugas, memimpin bacaan Doa Selamat.
"Moga Allah mempermudahkan segala urusan yang bakal dilalui kedua bakal pasangan ini. Ya Allah, rahmatilah mereka berdua dalam jagaanMu. Limpahilah kasih sayangMu ke atas mereka ini dan jadikanlah mereka sebagai pasangan yang Kau redhai dan berkati." 💞
Alhamdulillah 'ala kulli hal, majlis pertunangan berjalan lancar dan sempurna. Apa lagi, pakat melantaklah jamuan makan tengahari yang disediakan pihak tuan rumah. Nasi putih berlaukkan gulai daging empuk, ayam goreng berempah serta kuah-kuah cabai yang pedas mengiurkan telah selamat mendarat di perut ehekkk. 😝😝
Pertunangan merupakan antara inisiatif orang Melayu kita untuk mengikat seseorang perempuan itu dengan gelaran 'berpunya'. Dan disebalik pertunangan ini, bagi lelaki adalah fasa yang sangat mencabar kerana mereka perlu untuk memastikan pertunangan yang diikat ini berakhir di jinjang pelamin. Tetapi, wujud juga pilihan lain seperti bernikah dan berkahwin terus tanpa pertunangan. Masing-masing punyai kemahuan dan pilihan masing-masing. Lakukan solat Istikharah dan mintalah yang terbaik pada Allah. Dan pertunangan ini sebaiknya tidak perlu diwar-warkan kepada umum kerana pada masa inilah akan wujud banyak masalah yang tidak terduga. Kau bayangkan, bila jadi lelaki yang sudah bertunang, tetiba muncul perempuan yang mengandung, mengaku itu anak dia. Hahahahaha. Dan ada juga cerita berdasarkan kisah benar, perempuan itu dibuka aibnya yang dia telah berzina dengan lelaki lain sebelum ini. Kesemua ini berlaku ya tuan-tuan puan-puan. Di zaman ini, tiada yang mustahil. Oleh itu, sama-samalah beringat bahawa pertunangan ini bukan tiket untuk pasangan melakukan perkara yang haram seperti berdua-duan, melakukan persetubuhan (zina) dan lain-lain. ⛔🔞
Pengalaman ini tak semahal mana jika ingin dibandingkan dengan pengalaman menjadi pembaca doa di majlis perkahwinan. Tapi, secebis pengalaman inilah yang akan kita lalui suatu hari nanti andai tiba masanya. Percayalah, jodoh anda Tuhan sudah tetapkan yang terbaik!
Sepertimana firman Allah SWT dalam Surah An-Nur ayat 26 :
(ٱلۡخَبِیثَـٰتُ لِلۡخَبِیثِینَ وَٱلۡخَبِیثُونَ لِلۡخَبِیثَـٰتِۖ وَٱلطَّیِّبَـٰتُ لِلطَّیِّبِینَ وَٱلطَّیِّبُونَ لِلطَّیِّبَـٰتِۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ مُبَرَّءُونَ مِمَّا یَقُولُونَۖ لَهُم مَّغۡفِرَةࣱ وَرِزۡقࣱ كَرِیمࣱ)
"Perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia."
Kata Ustazah Asma' Harun :
"Jika ingin peroleh pasangan yang baik, kita seharusnya berubah menjadi baik dahulu. Kita perlu sentiasa doa pada Allah untuk dikurniakan jodoh yang terbaik. Kerana dengan jodoh inilah yang menjadikan hidup kita lebih bahagia atau sengsara." 🌸🌸🌸
Terima kasih kerana membaca! 😘
Ulasan
Catat Ulasan