Ramadhan : Hikmah & Kebaikan 🌙
Ramadhan : Hikmah & Kebaikan
Bulan Ramadhan bulan yang berkat, 🎼
Bulan rahmat dan bulan utama, 🎵
Pahala digandakan, doa diterima, 🎶
Bulan Lailatul Qadar yang istimewa. 🎼
(Hijjaz - Ramadhan Bulan Berkat)
Alhamdulillah, kita bakal memasuki bulan Ramadhan sekejap sahaja lagi. Pejam celik pejam celik, 6 minggu PKP terasa sangat cepat. Pejam celik, Ramadhan pula menghampiri.
Apa khabar iman dan hati kalian? 😊
Moga Allah hadirkan ketenangan buat hati-hati yang menghayati tulisan ini. 💕
2 hari lepas, saya dijemput untuk memberi perkongsian buat ikhwah Pembina. Maaf sebab perkongsian ini diadakan secara atas talian dan hanya boleh diakses oleh ahli Pembina sahaja. Maka, saya ingin juga berkongsi dengan kalian melalui penulisan ini. Moga bermanfaat. 🤗
Sebagai seorang Muslim, kita sedia maklum bahawa ibadah puasa ini adalah salah satu dari kewajipan yang Allah taklifkan.
معلوم من الدين بالضرورة
Maka, puasa yang disyariatkan ini amat sinonim dengan bulan Ramadhan. Malah, Allah عز وجل telah menyebut perihal bulan istimewa ini di dalam AlQuran. 📖
(شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِیۤ أُنزِلَ فِیهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدࣰى لِّلنَّاسِ وَبَیِّنَـٰتࣲ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ....)
"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah....."
- Surah Al Baqarah ayat 185
Dan tahukah kalian, Allah menyebut رمضان hanya sekali sahaja di dalam AlQuran.
Junjungan kita Nabi Muhammad SAW juga merakamkan bahawa Ramadhan ini adalah penghulu kepada segala bulan.
رمضان سيّد الشّهور
(Riwayat Ibn Abi Shaybah)
Maka, apabila Ramadhan ini di 'mention' oleh Tuhan Yang Maha Agung dan utusan-Nya, PASTI wujudnya keistimewaan yang tidak ternilai kepada seluruh jutaan umat manusia. 🌍
Speciality of Ramadhan :
1) Pintu langit dan syurga dibuka seluas-luasnya
2) Pintu neraka ditutup
3) Syaitan-syaitan dibelenggu, diikat dan dirantai
4) Allah anugerahkan malam al-Qadr (malam yang lebih baik dari 1000 bulan)
5) Ibadah puasa (iftar dan sahur)
6) Solat sunat Tarawih تراويح
7) Pahala digandakan sehingga 70 hingga 700 kali ganda!
8) Amalan tadarus AlQuran (Nabi SAW bertadarus bersama Jibril عليه السلام)
9) Mulut wangi ibarat kasturi di sisi Allah
10) Semua pekerjaan dalam berpuasa dikira 'ibadah
Subhanallah, betapa agungnya fadhilat Ramadhan ini bagi mereka yang ingin mencari dan menyahut redha dan pengampunan Allah عز وجل!
HIKMAH RAMADHAN ✨
Setiap 'ibadat yang Allah telah syariatkan, terangkum di dalamnya hikmah yang perlu dihayati oleh orang yang beriman.
Misalnya, ibadah qurban, mengajar erti pengorbanan tulus dan suci yang diinspirasikan dari kisah Nabi Ibrahim dan anaknya, Isma'il عليهما السلام . Betapa kentalnya hati Ibrahim, saat dia perlu untuk patuh dan tunduk pada perintah Allah, dia terpaksa meninggalkan Isma'il dan Siti Hajar berduaan di padang pasir.
Hebat sifat tawakkalnya kepada Allah! 🐐
Begitu juga ibadah solat, ia mendidik setiap jiwa nurani manusia untuk tunduk kepada Allah. Bahkan, melalui solat, Allah anugerahkan kecemerlangan dunia akhirat. Dan Allah juga hindarkan maksiat dan kejahatan melaluinya. Firman Allah :
(.... إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَاۤءِ وَٱلۡمُنكَرِۗ وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَكۡبَرُۗ وَٱللَّهُ یَعۡلَمُ مَا تَصۡنَعُونَ)
"..... sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."
- Surah 'Ankabut ayat 45
Dan puasa Ramadhan juga tidak terkecuali dari himpunan hikmah yang cukup bermakna. ✨
1) Puasa melatih sifat sabar dalam menghadapi mehnah, kepayahan dan cabaran, mendalami penderitaan orang yang susah serta mendepani ujian dan dugaan dari Allah عز وجل. Allah berfirman :
(وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَیۡءࣲ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصࣲ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَ ٰلِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَ ٰتِۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِینَ)
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."
2) Puasa adalah perisai dan benteng dari pintu maksiat dan kejahatan. ⚔️
Rasulullah SAW bersabda :
والصّيام جُنّة.....
(Sahihain)
Para ulama' berkata bahawa segala maksiat yang terjadi berpunca dari letusan nafsu. Dan sinonimnya nafsu ini sangat berkait dengan makanan. Ya, buktinya cukup saja kita lihat amalan boros dalam membeli di bazaar Ramadhan.
Apabila kita berpuasa, perut kita tidak menerima sebarang makanan. Maka disinilah terjadinya lapar. Lalu nafsu yang ada akan terarah kepada makanan sahaja. Jadi, maksiat berupaya dihindarkan. Inilah mengapa sebabnya puasa ini berupaya mencegah seseorang itu dari maksiat.
Malah Nabi صلى الله عليه وسلم sendiri berpesan bahawa sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin, maka berpuasalah. Ini kerana ia (puasa) dapat memelihara seseorang itu daripada syahwat yang membara.
Dan sebab itulah juga Nabi berpesan supaya perut kita ini tidak diisi keseluruhan ruangnya dengan makanan. Cukup ⅓ untuk makanan, ⅓ untuk air dan ⅓ untuk udara.
3) Puasa melatih sifat amanah dan jujur 😇
Semasa kita berpuasa, pastinya kita berharap supaya ia dapat disempurnakan dengan iftar. Maka, ini satu kemenangan kecil dari hari-hari yang perlu dilalui dalam Ramadhan.
Tetapi, boleh sahaja kan jika kita tidak berpuasa dengan makan atau minum senyap-senyap, tanpa diketahui oleh orang lain. Hakikatnya, memang ada orang Muslim sebegini. Selalunya digelar 'geng plastik hitam' dan sering dilihat duduk beramai-ramai dalam van jenazah yang diangkut penguatkuasa agama. 🚐
Namun, prinsip kita yang berpuasa ini jelas sekali ingin taat dan patuh kepada perintah Allah عز وجل. Kita juga beriman bahawa Allah Maha Melihat dan Maha Tahu apa yang kita kerjakan. Maka, dengan kita berpuasa secara sempurna, menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa menandakan kita ini berjaya mendirikan tembok amanah dan kejujuran dalam diri kita!
Sabda Rasullullah صلى الله عليه وسلم :
لا إيمان لمَن لا أمانة له
"Tiada iman bagi mereka yang tidak amanah."
4) Bulan Ramadhan sebagai wadah untuk muhasabah dan refleksi diri 🌸
Masuk sahaja ke dalam bulan Ramadhan, maka tahulah kita bahawa setahun sudah berlalu dari Ramadhan sebelumnya.
Persoalannya di sini, sedalam manakah Ramadhan lepas menjentik hati kita untuk berubah ke arah kebaikan?
Apakah yang dilakukan dalam bulan Ramadhan itu, kita praktikkan di luar Ramadhan?
Adakah taubat, rintihan, hajat itu hanya dalam Ramadhan? Sedangkan bulan-bulan lain, betapa sombongnya kita dengan Pencipta.
Adakah Ramadhan lepas berjaya menjadikan kita orang yang bertaqwa?
Maka, soalan-soalan ini tuan-tuan perlu untuk renungkan. Betulkah Ramadhan telah berjaya mendidik kita? Menjadi lebih baik?
PERSEDIAAN MENYAMBUT RAMADHAN رمضان المبارك ✨
1) Yang paling utama ialah, kita perlu untuk pelajari dan ulangkaji semula hukum-hakam yang berkaitan dengan ibadah puasa.
Bagaimana cara qadha, pembayaran fidyah, sahur, masa bayar zakat fitrah, perkara yang membatalkan puasa dan lain-lain. Hal ini tidak boleh diambil ringan kerana syarat penerimaan ibadah di sisi Allah عز وجل ialah menepati garis panduan syarak. Sia-sia sahajalah jika kita jahil dalam beribadah. Kita takkan berupaya menghayati ibadah dengan sebenar-benar penghayatan. Di sini aku letakkan link beberapa kuliah asatizah yang boleh dirujuk berkaitan ahkam berpuasa.
Ustaz Syed Shahridzan
(Kitab Muqaddimah AlHadhramiyyah)
https://www.facebook.com/ustazsyedshahridzan/
Ustaz Muhadir Hj. Joll
https://www.facebook.com/majalahqa/
Syeikh Nazrul Nasir
(Kitab رسالة الصوم)
https://www.facebook.com/PusatPengajianRuwaqJawi/
2) Mempertingkatkan bacaan AlQuran dan mengulangkaji hukum tajwid.
Saya pasti ramai dalam kalangan kita memasang target untuk mengkhatamkan bacaan AlQuran sekurang-kurangnya sekali. Ini satu niat yang sangat bagus. Fadhilatnya begitu besar.
Mana tidaknya, dalam hadith riwayat Tirmizi, Rasulullah telah mengkhabarkan bahawa 1 huruf AlQuran yang dibaca membuahkan 10 pahala. Ditambah pula dengan gandaan pahala yg Allah janjikan, tidak terkira jumlahnya. Sedangkan basmalah saja sudah merangkumi 19 huruf. 19 darab 10 sudah 190. Subhanallah!
Begitupun, kalam Allah ini perlulah dibaca dengan betul dan sempurna. Waqaf ibtida' nya perlulah betul. Dengung, kadar harakatnya hendaklah ditepati. Ini kerana AlQuran adalah mukjizat teragung yang Allah turunkan kepada umat manusia. Justeru, tiada guna jika AlQuran ini hanya dibaca secara ala kadar.
Para sahabat dan ulama' dahulukala, sebulan sebelum menjejaki Ramadhan, mereka sudah sibuk menyibukkan diri dengan AlQuran. Ada yang lagi advance, 3 bulan sebelum Ramadhan sudah dibuat persiapan dengan pembacaan AlQuran. Kerana mereka amat tahu kemuliaan Ramadhan ini tidak dapat ditandingi oleh bulan-bulan yang lain.
3) Menghidupkan suasana Ramadhan di rumah.
Memandangkan musim PKP ini, tarawih dan amalan di masjid tidak dibenarkan, maka rumah menjadi suasana yang perlu untuk di tune kan menjadi mesra-Ramadhan.
Ramadhan ini ibarat tetamu. Tetamu yang sangat mulia. Ia membawa seribu satu kebaikan dan berkat kepada kita. Maka, sebelum tetamu datang bertandang, wajar untuk kita mengemas dan membersihkan rumah.
Selain itu, set up kan satu ruang khas atau bilik untuk keluarga kita laksanakan solat berjemaah dan tarawih bersama. Letak juga rehal, AlQuran, kitab Fadhilat Amal dan buku-buku hadith atau agama untuk kita berkongsi input atau tilawah bersama.
Budak-budak zaman millenial ini pula, tak dapat dipisahkan dengan lagu. Maka, cari dan pasangkanlah lagu yang bertemakan Ramadhan ini kuat-kuat. Baru feeling nak sambut puasa kan?
Moga semua dari kita berupaya memanfaatkan Ramadhan kali ini.
All out sehabis mungkin!
Kita kejar redha Allah!
أوسيم،،،ولكن..
BalasPadam